Sunday 5 June 2011

REFLEKSOLOGI JURUS

REFLEKSOLOGI JURUS

Refleksologi Jurus merupakan  salah satu  perubatan alternatif.  Kaedah perubatan ini dinamakan Refleksologi Jurus kerana  melibatkan   urutan  di  jurus. Jurus bermaksud bahagian-bahagian  tertentu pada kaki dan tangan yang mewakili urat saraf dan  organ dalam  badan.

Menurut Refleksologi Jurus, pada bahagian  kaki terdapat 5000 urat saraf,  iaitu 2500 urat saraf pada sebelah kaki kanan dan 2500 urat saraf pada sebelah kaki kiri. Pada bahagian tangan pula terdapat  1666 urat saraf iaitu  833 urat saraf pada  sebelah tangan kanan dan 833 urat saraf pada sebelah tangan kiri.  Jika dicampur  bilangan urat saraf pada kaki dan tangan,  maka jumlahnya ialah 6666 urat saraf  iaitu menyamai jumlah ayat al-Quranulkarim  iaitu 6666 ayat.

BAHAGIAN JURUS

Bahagian- bahagian  jurus mewakili urat saraf pada organ dan anggota badan. Bahagian-bahagian jurus tersebut terbahagi kepada tujuh seperti yang berikut:

Jurus 1  - bahagian tumit luar dan dalam (kiri dan kanan)
Jurus 2  - bahagian atas kaki (kiri dan kanan)
Jurus 3 -  bahagian perut kaki kanan
Jurus 4 -  bahagian perut kaki kiri
Jurus 5 - bahagian dalam dan luar jari kaki kanan
Jurus 6 - bahagian dalam dan luar jari kaki kiri
Jurus 7 - bahagian tapak tangan, belakang tangan dan jari (kiri dan kanan)

Bahagian-bahagian  jurus ini  diurut untuk mengesan penyakit dan seterusnya merawatnya. Jurus yang diurut akan berasa sakit.  Rasa sakit itu bergantung pada ketahanan diri dan tahap  kesihatan masing-masing.

TEORI RAWATAN

Teori rawatan Refleksologi Jurus ialah bersilang iaitu urutan  di kaki kanan atau tangan kanan mewakili  organ dan anggota badan di bahagian kiri manakala  urutan di kaki kiri  atau tangan kiri mewakili organ dan anggota badan di bahagian kanan. Hal ini sama  seperti teori perubatan iaitu otak kanan  mengawal anggota di sebelah kiri manakala otak kiri  mengawal anggota di sebelah kanan.

KAEDAH  RAWATAN

Refleksologi Jurus menggunakan ayat-ayat al-Quran dalam kaedah rawatannya. Ayat-ayat al-Quran dibaca pada bahan-bahan ubatan  yang dibawa oleh pesakit. Adakalanya ayat-ayat al-Quran turut dibaca ketika mengurut pesakit. Pesakit juga digalakkan mengamalkan surah dan ayat-ayat tertentu dalam al-Quran sebagai ikhtiar mengubati penyakit yang dideritai.

Selain urutan, herba tertentu serta makanan sunnah turut disyorkan kepada pesakit bagi mengubati penyakit yang dihadapi di samping turut mengenakan pantang larang dalam tempoh tertentu kepada pesakitnya. Gabungan  kaedah rawatan ini mewakili 50% urutan, 30% ubatan, dan 20% pantang larang.

Jumlah  minimum urutan yang syorkan  kepada  pesakit biasa  ialah  tiga kali dan urutan ini boleh diteruskan sehingga tahap kesihatan memuaskan.  Bagi pesakit kronik pula, minimum urutan yang disyorkan ialah tujuh  kali dan urutan ini boleh diteruskan sehingga tahap kesihatan memuaskan. Bagi orang dewasa urutan boleh dilakukan selang masa 4 jam manakala bagi kanak-kanak pula, hanya sekali dalam sehari.

TUJUAN URUTAN

Urutan dilakukan  bertujuan untuk melancarkan peredaran darah, menstabilkan hormon, dan membolehkan kelenjar berfungsi seperti biasa.


AMALAN JURUS

Refleksologi Jurus  menjadikan al-Quran sebagai  teras  dalam perubatan ini. Ayat-ayat al-Quran bukan hanya dibaca ketika  rawatan tetapi juga perlu diamalkan oleh setiap pengamal perubatan ini. Antara amalan-amalan bagi pengamal Refleksologi Jurus termasuklah:

1. Melakukan solat sunat tahajjud sebanyak 50 rakaat  pada setiap malam.
2. Melakukan solat-solat sunat yang lain seperti solat wuduk, solat taubat, solat hajat, solat dhuha, dan solat tasbih.
3.  Membaca 15 surah pilihan  pada setiap hari. Surah-surah tersebut termasuklah:
(a) Surah al-A'raf;
(b) Surah Ibrahim;
(c) Surah al-Furqan;
(d) Surah al-Sajdah;
(e) Surah Yaasin;
(f)  Surah al-Rahman;
(g)  Surah al-Waqiah;
(h)  Surah al-Hadid;
(i)  Surah al-Hasyr;
(j)  Surah al-Jumu'ah;
(k) Surah al-Munafiqun;
(l)  Surah al-Talaq;
(m)  Surah al-Mulk;
(n)  Surah al-Insan;
(o)  Surah al-Qiyamah.

3.  Mengkhatam al-Quran
(a)  pada tahun pertama - sebulan sekali khatam
(b)  pada tahun kedua - sebulan  dua kali khatam
(c)  pada tahun ketiga - sebulan tiga kali khatam
(d)  pada tahun keempat - sebulan empat kali khatam
(e)  pada tahun kelima dan seterusnya - 3 hari  sekali khatam


No comments:

Post a Comment