Sunday 5 June 2011

Organ yang terlibat, penyakit, rawatan, pantang

JURUS 2

Jurus 2  merujuk pada bahagian kaki atas. Apabila urutan dilakukan pada bahagian ini, pesakit akan berasa amat sakit. Masalah yang dikesan pada Jurus 2 termasuklah paru-paru, urat belikat, saluran pernafasan, tonsil, sakit dalam sendi bahu (tidak boleh mengangkat tangan), sakit tengkuk, payu dara, kebas tangan, jari-jari tegang, dan  lutut tegang.


Paru-paru

Masalah pada paru-paru termasuklah batuk,  asma, lelah,  kanser paru-paru, dan batuk kering.

Batuk

Batuk terjadi disebabkan oleh alahan, bakteria atau virus.
Batuk dirawat dengan cara urutan di Jurus 2 dan menggunakan akar bayam berduri hijau dan gula batu.

Asma

Asma  bukanlah penyakit keturunan dan tidak berpunca daripada bakteria. Asma terjadi akibat daripada saluran pernafasan yang sempit atau menguncup.  Semasa proses pernafasan, oksigen disedut manakala  karbon dioksida dihembus. Ketika oksigen disedut, keadaan aveolus yang  sempit atau menguncup ini  menyebabkan pesakit sukar untuk bernafas atau  tercungap-cungap.  Alahan pada habuk, makanan, atau bulu haiwan  boleh  juga menyebabkan asma. Tanda-tanda asma termasuklah batuk dan nafas berbunyi.

Asma dirawat dengan cara urutan di Jurus 2 dan menggunakan sarang burung layang-layang, habbatussauda,  safron, dan madu lebah asli.

Lelah

Lelah ialah penyakit keturunan tetapi bukan berpunca daripada oleh bakteria. Lelah berlaku apabila ada lendir di antara  saluran pernafasan. Semasa proses pernafasan apabila oksigen disedut pesakit akan terbatuk untuk mengeluarkan lendir tersebut. Tanda-tanda lelah termasuklah batuk, nafas berbunyi dan demam.

Lelah dirawat dengan cara urutan di Jurus 2 dan menggunakan  sarang burung layang-layang, habbatussauda, safron, dan madu lebah asli.

Kanser paru-paru

Kanser paru-paru berlaku apabila ada pendarahan pada paru-paru. Semasa proses pernafasan ini, oksigen yang disedut mengandungi darah. Hal ini  menyebabkan oksigen sukar  memasuki  paru-paru. Tanda-tanda kanser paru-paru termasuklah demam yang berlarutan, batuk yang kering, dan air liur menjadi kering.

Kanser paru-paru dirawat dengan cara urutan di Jurus 2 dan menggunakan  sarang burung layang-layang, habbatussauda,  safron,  dan madu lebah batu (madu hitam).

Batuk kering

Batuk kering berpunca daripada bakteria Mycrobacterium Tuberculosis’ atau kuman Tibi. Batuk kering merosakkan paru-paru dan menyebabkan pendarahan dan mengakibatkan paru-paru tidak dapat berfungsi. Pesakit tibi yang merokok akan menderita batuk kering yang lebih teruk. Perbezaan antara batuk kering dengan batuk biasa ditunjukkan dengan tanda-tanda batuk yang tidak puas dan batuk yang tidak mengandungi kahak.

Batuk kering dirawat dengan cara urutan di Jurus 2 dan menggunakan sarang burung layang-layang serta madu lebah batu (madu hitam). Di samping itu, pesakit juga perlu mengambil antibiotik daripada pihak hospital.


Bronkitis (Radang paru-paru)

Bronkitis ialah radang paru-paru. Hal ini terjadi apabila saluran pernafasan (tiub brokiul) ditutup oleh mukus (kahak).

Surah Amalan

Surah  amalan bagi masalah paru-paru ialah Surah al-Ra'd.

Payu dara
Masalah pada payu dara pada mulanya berpunca daripada ketulan biasa pada payu dara. Ketulan ini kemudiannya menjadi ketulan berlendir yang akan  bergerak-gerak apabila ditekan dengan jari . Seterusnya ketulan ini menjadi ketulan berbisa, apabila ditekan akan mengeluarkan air bisa. Akhirnya ketulan ini mengandungi air bisa dan bernanah.

Tanda-tanda yang menunjukkan masalah pada payudara adalah seperti yang berikut:
(a)  tanda awal, ada ketulan pada payu dara;
(b)  rasa sakit apabila ketulan ini disentuh;
(c)  ada tanda seperti tahi lalat atau kemerahan pada permukaan ketulan;
(d)  ketulan ini timbul dan membengkak serta mengeluarkan cecair kemerahan (plasma) apabila ditekan;
(e)  ketulan ini akhirnya menjadi seperti kudis yang lambat sembuh.

Masalah payu dara dirawat dengan urutan di Jurus 2 dan menggunakan sarang burung layang-layang, safron, madu lebah, akar bayam berduri hijau dan merah, gula batu, dan bedak sejuk.

Surah Amalan

Surah amalan bagi masalah payu dara ialah Surah al-Syu'ara' ayat 78 - 90.

Urat belikat

Masalah  pada urat belikat berpunca daripada usus besar atau pemakanan yang tidak betul seperti makan makanan yang berangin atau sejuk. Tanda-tanda masalah urat belikat sukar bernafas, rasa sakit apabila mengiring, dan adakalanya sukar mengangkat tangan.

Sakit urat belikat dirawat dengan cara urutan di Jurus 2 dan menggunakan daun durian belanda, pucuk jambu batu, bawang putih dan bawang merah serta dituam dengan pasir sungai atau garam kristal, halba, jintan manis/jintan putih, atau tungku elektrik (bantal panas).

Surah Amalan

Surah amalan bagi masalah urat belikat ialah Surah al-Insan , pada ayat ke 28 diulang tiga kali.

Saluran pernafasan

Masalah pada saluran  pernafasan termasuklah kahak, tonsil, rasa tercekik (mengkelan atau rasa lekat pada kerongkong). Tanda-tanda masalah saluran pernafasan termasuklah sesak nafas dan pengumpulan lendir atau kahak pada kerongkong terutama pada waktu pagi.

Masalah saluran pernafasan dirawat dengan cara urutan pada Jurus 2 dan menggunakan akar bayam berduri hijau dan gula batu.

Surah Amalan

Surah amalan bagi masalah saluran pernafasan ialah Surah al-Ra'd.

Sakit tengkuk

Sakit tengkuk disebabkan sama ada cara tidur yang salah, tekanan darah tinggi, usus yang tidak elok(usus besar), atau tulang belakang. Tanda-tanda masalah sakit tengkuk ialah sukar tidur malam dan rasa lenguh pada tengkuk dan badan.

Sakit tengkuk dirawat dengan beberapa cara mengikut punca masalah tersebut.
(a) sakit tengkuk yang berpunca daripada cara tidur yang salah dirawat dengan  urutan di Jurus 2 dan dituam  dengan pasir sungai atau garam kristal, halba, jintan manis/jintan putih, atau tungku elektrik (bantal panas).
(b) sakit tengkuk yang berpunca daripada masalah darah tinggi dirawat dengan urutan di jurus 2, menggunakan asam keping dan halba, dan dituam  dengan pasir sungai atau garam kristal, halba, jintan manis/jintan putih, atau tungku elektrik (bantal panas).
(c)  sakit tengkuk yang berpunca daripada usus besar, dirawat dengan urutan di Jurus 2, daun durian belanda, pucuk jambu, bawang putih, dan bawang merah, serta dituam  dengan pasir sungai atau garam kristal, halba, jintan manis/jintan putih, atau tungku elektrik (bantal panas).
(d)  sakit tengkuk yang berpunca daripada tulang belakang dirawat dengan urutan di jari tengah,  menggunakan sarang burung layang-layang, safron, madu lebah, dan habbatussauda', serta dituam  dengan pasir sungai atau garam kristal, halba, jintan manis/jintan putih, atau tungku elektrik (bantal panas).

Surah Amalan

Surah amalan bagi masalah sakit tengkuk adalah seperti yang berikut:
(a)  sakit tengkuk berpunca daripada cara tidur yang salah - Surah al-An'am ayat ke 60;
(b) sakit tengkuk berpunca daripada tekanan darah tinggi dan usus - Surah al-Waqiah;
(c)  sakit tengkuk berpunca daripada tulang belakang - Surah al-Insan, pada ayat ke-28 diulang tiga kali.



Lutut tegang

Masalah lutut tegang berpunca daripada:
1.  tulang belakang;
2.  gout;
3.  lendir kurang;
4.  kekejangan (simpul biawak atau tarik mengkarung);
5.  ligamen kendur.

Tanda-tanda masalah lutut tegang:
(a) sakit lutut;
(b) tidak boleh melipat lutut;
(c) gerakan lutut yang terhad.

Lutut tegang dirawat dengan urutan di Jurus 2, menggunakan safron dan madu lebah dan  dituam  dengan pasir sungai atau garam kristal, halba, jintan manis/jintan putih, atau tungku elektrik (bantal panas).

Surah Amalan

Surah amalan bagi masalah lutut tegang ialah Surah al-Insan ayat ke 28 diulang tiga kali.

Kebas tangan (semut-semutan)

Kebas-kebas tangan berpunca daripada sakit tulang tengkuk C3 dan  kehadiran kolestrol, asid urik, dan gula yang  berlebihan dalam badan. Tanda-tanda masalah ini ialah tidak boleh mengangkat tangan dan sukar bernafas.

Kebas tangan dirawat dengan  beberapa cara mengikut punca masalah tersebut:
(a)  kebas tangan berpunca daripada tulang tengkuk dirawat dengan cara urutan di ibu jari kaki, menggunakan sarang burung layang-layang, safron, madu lebah, dan dituam dituam  dengan pasir sungai atau garam kristal, halba, jintan manis/jintan putih, atau tungku elektrik (bantal panas).
(b)  kebas tangan berpunca daripada kolestrol dirawat dengan cara urutan di jari anak , menggunakan  madu lebah asli , minyak zaitun, dan habbatussauda' dan  dituam  dengan pasir sungai atau garam kristal, halba, jintan manis/jintan putih, atau tungku elektrik (bantal panas);
(c) kebas tangan berpunca daripada asid urik yang berlebihan dirawat dengan cara urutan di Jurus 2, menggunakan sarang burung layang-layang, safron, madu lebah asli, dan  dituam  dengan pasir sungai atau garam kristal, halba, jintan manis/jintan putih, atau tungku elektrik (bantal panas).
(d)  kebas tangan yang berpunca daripada gula yang berlebihan dalam badan dirawat dengan urutan di Jurus 2, menggunakan madu lebah asli dan bunga pakma (rafflessia) dan  dituam  dengan pasir sungai atau garam kristal, halba, jintan manis/jintan putih, atau tungku elektrik (bantal panas).

Surah Amalan

Surah amalan bagi

Pantang

Pesakit yang mengalami masalah pada Jurus 2  perlu mengelakkan makanan yang berikut:
(a)  ais;
(b) kubis;
(c) daging;
(d) sotong;
(e) terung;
(f)  air berkarbonat;
(g) buah-buahan terutama tembikai;
(h) makanan ringan (yang berpengawet);
(i) pulut dan  bahan daripada pulut seperti kuih muih, laksa, dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment